Ini adalah rencana ekonomi saya mengenai bajet kerajaan yang diterbitkan di Suara Keadilan dan juga Amanah beberapa minggu yang lalu. Pejabat saya akan terus berusaha menerbitkan rencana – rencana ekonomi dari masa ke semasa.
—
EKONOMI MALAYSIA SECARA RINGKAS
Terima kasih kepada Editor kerana memberi saya peluang untuk mengarang sebuah rencana mengenai isu-isu ekonomi semasa. Bagi rencana pertama ini, saya akan menumpukan perhatian terhadap isu fiskal kerajaan Malaysia.
Secara ringkas, sesebuah kerajaan akan membentangkan bajet setiap tahun. Setiap bajet ini mempunyai dua aspek, iaitu aspek pendapatan dan aspek perbelanjaan. Dasar bajet, yang merujuk kepada falsafah dan ideologi yang merangka bajet tahunan ini, dikenali sebagai dasar fiskal negara. Oleh itu, apabila pembaca membaca perkataan “fiskal”, isu pokoknya adalah mengenai belanjawan kerajaan.
Kami bermula dengan perbicaraan aspek pertama fiskal, iaitu pendapatan negara. Pihak kerajaan memperoleh hasil melalui beberapa sumber utama. Sumber utama pendapatan kerajaan adalah daripada cukai pendapatan persendirian, cukai pendapatan korporat, dan cukai pendapatan petroleum. Mengikut data kewangan terkini yang telah diterbit bagi tahun 2014, cukai pendapatan persendirian yang dikutip adalah sebanyak RM24.2 bilion, manakala cukai pendapatan korporat adalah RM65.24 bilion. Pihak kerajaan juga memperoleh RM26.96 bilion daripada cukai pendapatan petroleum. Sumber hasil kerajaan yang lain pada tahun 2014 termasuk dividen Petronas, royalti, cukai eksais, dan SST. Jumlah hasil cukai langsung tahun 2014 adalah RM126.74 bilion, manakala jumlah kutipan hasil bukan cukai tahun 2014 adalah sebanyak RM93.86 bilion. Jumlah penuh hasil kerajaan pada tahun 2014 pula adalah RM220.6 bilion.
Bagi tahun 2015 dan 2016, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah mengambil alih cukai SST. Dengan perlaksanaan GST sebanyak 6% bermaksud rakyat Malaysia telah dibebankan dengan pembayaran cukai diantara RM30 bilion ke RM40 bilion setahun.
Jika data hasil kerajaan ini diteliti sepintas lalu, banyak persoalan yang boleh dibangkitkan mengenai pengurusan pendapatan kerajaan Malaysia.
Persoalan pertama adalah mengenai cukai pendapatan persendirian dan cukai pendapatan korporat. Jika digabungkan, kedua-dua hasil cukai ini hanya meliputi 40% daripada jumlah pendapatan kerajaan. Situasi ini amat merunsingkan. Peratusan kutipan cukai pendapatan persendirian dan korporat yang ideal sepatutnya berada di sekitar 60% – 70%.
Mengapakah negara kita menghadapi masalah kutipan rendah ini? Hal ini adalah kerana sebahagian besar para pekerja di Malaysia tidak menerima gaji yang mencukupi untuk membayar cukai pendapatan persendirian. Khususnya, hanya 1.5 juta orang daripada jumlah 12 juta orang pekerja Malaysia yang layak membayar apa-apa cukai pendapatan. Maknanya jelas: Kebanyakan pekerja Malaysia tidak mendapat gaji yang secukupnya.
Pejabat saya telah membandingkan kadar ratio kutipan cukai pendapatan korporat dengan cukai pendapatan persendirian. Hasil kajian kami telah menunjukkan bahawa cukai pendapatan korporat adalah 2.7 kali ganda lebih daripada cukai pendapatan seluruh tenaga kerja di Malaysia.
Kini, terdapat lebih kurang sejuta buah syarikat di Malaysia, di mana hanya 400,000 syarikat dianggap aktif. Daripada jumlah ini, hanya lebih kurang 150,000 buah syarikat yang telah berjaya mencatatkan keuntungan dan perlu membayar cukai. Namun, amalan pengelakan cukai korporat sudah lama menjadi kebiasaan di Malaysia, walaupun sesebuah syarikat tersebut sebenarnya merakamkan keuntungan.
Jelas bahawa terdapat ketidakseimbangan pendapatan yang nyata antara syarikat-syarikat dan gaji yang dibayar kepada para pekerja Malaysia. Bagaimanakah syarikat-syarikat ini dapat terus menetapkan gaji rendah bagi pekerja mereka dan, pada masa yang sama, meraih keuntungan berlipat ganda tanpa sebarang rintangan? Jawapannya mudah. Tenaga kerja di Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menubuhkan kesatuan sekerja yang benar-benar efektif.
Pejabat saya sememangnya menyokong sistem ekonomi pasaran bebas. Namun, pengagihan pendapatan yang lebih saksama wajib dilaksanakan. Menurut maklumat daripada negara-negara yang maju dari segi sosial dan ekonomi, seperti Australia dan United Kingdom, pembayaran cukai pendapatan persendirian adalah dua hingga ke tiga kali ganda pembayaran cukai pendapatan korporat. Malangnya, situasi ini memang “upside down” di tanah air kita. Di Malaysia, 150,000 korporat adalah dua hingga ke tiga kali ganda lebih kaya daripada 12 juta orang pekerja.
Sekiranya kita ingin mencapai status negara maju, hak pekerja menubuhkan kesatuan sekerja harus ditegakkan. Syarikat-syarikat pula mesti digalakkan untuk lebih berkongsi keuntungan mereka dengan warganegara Malaysia. Jika dilaksanakan, sudah tentu pendapatan isi rumahtangga akan meningkat, kadar perbelanjaan pengguna akan bertambah baik, dan aktiviti-aktiviti perniagaan akan dipergiatkan. Inilah yang dipanggil “virtuous cycle”.
Sekarang kita beralih kepada aspek perbelanjaan negara pula. Memandangkan hasil kerajaan adalah RM220.6 bilion, kadar perbelanjaan kerajaan tidak sepatutnya melebihi RM220.6 bilion. Jika perbelanjaan negara melangkau jumlah tersebut, Malaysia akan menghadapi situasi defisit kewangan. Pada tahun 2014, kerajaan telah membelanjai sebanyak RM264.2 bilion dan, oleh itu, mengalami defisit berlebihan sebanyak RM43.6 bilion.
Bagi isu ini, kita mesti ingat bahawa keadaan fiskal sesebuah negara bergantung pada dua faktor utama. Faktor pertama adalah tahap pembangunan negara; faktor kedua adalah keadaan ekonomi, termasuk harga pasaran minyak dan gas.
Sesebuah negara yang telah maju daripada segi pembangungan dan infrastruktur tidak perlu mengamalkan perbelanjaan defisit. Sebagai contoh, belanjawan Singapura seringkali mencatat lebihan atapun “surplus” oleh kerana segala infrastruktur pengangkutan mereka sudah siap dibina dan masih diselenggara dengan sempurna. Jerman pula mempunyai sistem rangkaian pengangkutan yang lengkap seperti Autobahn. Negara tersebut biasa merekod belanjawan seimbang dan sekiranya ada defisit, iainya defisit yang terkawal dan tidak ketara.
Oleh sebab Malaysia sebuah negara yang masih membangun, belanjawan defisit adalah satu dasar kebiasaan. Persoalannya, apakah kadar belanjawan defisit yang boleh diguna pakai? Pakar-pakar ekonomi telah mencadangkan kadar defisit yang sesuai adalah sebanyak 2-3% lebih daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk negara-negara membangun seperti Malaysia. Masalahnya, Malaysia sudah lama mencatatkan perbelanjaan defisit lebih daripada sasaran defisit 2% ke 3% tersebut. Tahun 1997 bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan merupakan tahun terakhir perbelanjaan negara merakamkan satu “surplus” atapun bajet lebihan.
Bukan itu sahaja, hutang negara bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional turut meningkat setiap tahun. Pada tahun 2015, hutang kerajaan telahpun mencecah RM650 bilion, satu jumlah yang amat mencemaskan.
Satu lagi aspek fiskal kerajaan dari segi perbelanjaan adalah isu penyelewengan dan rasuah. Kajian pejabat saya menganggar kos penyelewengan dan rasuah adalah lebih kurang RM 20 bilion setahun, iaitu 1.8% KDNK.
Sebagai perbandingan, seluruh perkhidmatan kesihatan negara menelan perbelanjaan sebanyak RM17 bilion setahun. Ini termasuk kos hospital kerajaan, klinik kesihatan, gaji para doktor dan jururawat, ubat-ubatan, dan rawatan bagi setiap warganegara Malaysia selama setahun. Hal ini bermakna kos akibat penyelewangan dan rasuah dapat menampung seluruh perkhidmatan kesihatan Malaysia selama setahun.
Sekiranya kerajaan meneruskan tabiat buruk meminjam berlebihan dan enggan memberantas penyelewangan dan rasuah dengan bersungguh-sungguh, maka pada masa terdekat ini, ekonomi Malaysia bakal terperangkap dalam satu situasi hutang tidak terbayar. Ini bermakna kita akan memasuki satu “death spiral” menghadapi faedah pinjaman pada kadar yang lebih tinggi dan juga penambahan kuantum hutang.
Justeru, Ahli-ahli Parlimen mesti peka semasa pembentangan bajet negara dan bersedia memantau dan memberi pandangan kritikal supaya kerajaan memperketatkan bajet negara. Kalau tidak, cucu-cicit kitalah yang akan terpaksa memikul beban melunaskan hutang berfaedah tinggi akibat belanjawan negara yang tidak terkawal.
Saya berharap agar rencana pertama ini dapat menyampaikan sedikit penerangan mengenai kepentingan dasar fiskal Malaysia. Implikasinya sosial, politik dan ekonominya jauh menjangkau angka-angka yang dibentangkan pada masa bajet negara setiap tahun.