1. Terima kasih Tuan Speaker, kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan RMK 12. Ucapan saya akan menyentuh perkara tentang sustainability, climate change dan impak negatif kepada tiga (3) industri yang sangat penting kepada Malaysia, iaitu, industri minyak dan gas, industri perhutanan, dan industri kelapa sawit.
2. Perkara pertama yang saya ingin membahas ialah tentang industri minyak dan gas dan cabaran-cabaran yang akan dihadapi akibat daripada perubahan iklim. Mengikut laporan dan data dari Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang baru diterbitkan pada Ogos 2021, keadaan perubahan iklim adalah pada tahap yang sangat kritikal. Dunia hanya mempunyai 11 tahun lagi untuk memastikan kenaikan suhu tidak melebihi 1.5 darjah Celsius dan kesan sekiranya ia melebihi 1.5 darjah Celsius, adalah dengan izin, catastrophic.
3. Oleh demikian, semua negara-negara di dunia perlu mencapai sasaran net zero carbon secepat mungkin untuk mengelakkan kenaikan suhu berlebihan.
4. Tidak dinafikan bahawa Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan gas asli yang substantial dan industri ini adalah penyumbang terbesar terhadap perubahan iklim iaitu melalui carbon emissions daripada penjanaan kuasa elektrik melalui gas asli dan juga daripada kenderaan-kenderaan yang menggunakan minyak petrol.
5. Tuan Speaker, kajian International Energy Agency yang bertarikh Mei 2021 menunjukkan bahawa sekiranya dunia ingin mencapai net zero pada tahun 2050, penggunaan hydrocarbon sedunia perlu turun daripada 90 juta tong sehari ke 25 juta tong sehari. Ini bermakna, pengeluaran minyak dan gas asli terpaksa surut sebanyak 70% dalam 3 dekad yang akan datang ini. Penyurutan mendadak ini akan berlaku. Oleh demikian, Petronas, perlu bersedia dengan izin to brace for impact.
6. Pada masa ini, jumlah jualan ataupun revenue setahun Petronas sebelum pandemic adalah pada sekitaran RM240 billion. Tahun lalu, pandemik Covid-19 telah menyebabkan penurunan penjualan minyak dan gas asli jatuh ke tahap RM180 billion. Penyurutan 29% jualan ini telah diakibatkan oleh satu pandemik sahaja. Apa lagi sekiranya kita menghadapi krisis yang jauh lebih besar daripada pandemik seperti perubahan iklim. Penyurutan 70% seperti yang diramalkan oleh International Energy Agency bermakna jualan Petronas akan jatuh ke tahap RM 72 billion setahun.
7. Oleh demikian, Malaysia cuma ada 3 dekad lagi untuk mereformasikan kebergantungan berat ekonomi negara dan fiskal kerajaan ke atas industri minyak dan gas. Pada masa kini, minyak dan gas menyumbang cukai dan divden lebih kurang RM30 billion ke RM50 billion setahun kepada hasil fiskal kerajaan. Pada tahun 2050, penyumbangan hasil setahun akan menurun ke RM9 billion daripada RM15 billion setahun sahaja. Ini memang tidak mencukupi untuk menyokong perbelanjaan kerajaan.
8. Tuan Speaker, dengan izin, we have to start reducing our severe economic and fiscal dependency on oil and gas. Reformasi sektor ini perlu dimulakan dalam tempoh RMK12 ini. Sekelip mata, 30 tahun akan berlalu macam itu sahaja. Kita perlu membuat perancangan economic divestment and diversification secepat mungkin. Kalau tidak, Malaysia akan dilanda malapetaka ekonomi dan fiskal yang berat sekali. Oleh itu, jelas bahawa Petronas perlu mula menukar business model ia, dan memberi fokus kepada renewable energy, pembaharuan ini juga perlu dilakukan kepada kesemua contractors, vendors dan supplier’s yang menyokong ekosistem Petronas.
9. Tuan Speaker, saya ingin mengalih perhatian saya kepada industri perhutanan. Total natural and planted forest cover di Malaysia adalah lebih kurang pada paras 40 ke 50%. Berbanding dengan kebanyakan negara maju yang lain, ini merupakan satu tahap forest cover yang cukup baik. Dalam konteks perubahan iklim, hutan kita berfungsi sebagai carbon sink. Dengan izin, this carbon sink is used to offset Malaysia’s carbon emissions.
10. Apa yang jelas, adalah industri perhutanan adalah penting bagi Malaysia sebagai penjana ekonomi dengan ekspot value produk sebanyak RM25 billion setahun. Hutan kita adalah sumber kekayaan tetapi ia perlu dijaga baik supaya kekayaan ini kekal berterusan. Dari perspektif social-ekonomi, hasil hutan yang asalnya daripada kawasan pedalaman, kerajaan perlu memastikan keuntungan diagihkan kembali kepada rakyat yang hidup di dalam kawasan pedalaman.
11. Saya memang menyokong prinsip bahawa perlindungan hutan dengan izin, can coexist dengan industri perhutanan komersial. Protecting the rainforest and commercial forestry can complement each other and need not be at loggerheads. Di negara barat yang maju seperti Norway, Finland and Canada, pengurusan hutan mereka adalah berdasarkan Reduced Impact Logging (RIL) dan memastikan hutan menjadi satu sumber lestari membekalkan kayu balak berterusan. Ianya berdasarkan kepentingan komersial dan juga pada masa yang sama memelihara hutan asal mereka sebagai national parks or heritage forests.
12. Apa yang diamalkan sekarang di Malaysia adalah model yang lebih kurang sama. Ada hutan kita dikomersialkan dan pada masa yang sama ada hutan asal yang dipeliharakan. Isu pokoknya di Malaysia bukanlah berpunca daripada segi dasar tetapi dari segi implementasi yang kerap kali dipengaruhi oleh rasuah dan salah guna. Hutan kita kerap kali dirampas oleh orang-orang yang berkuasa bersama dengan kroni-kroni mereka. Pembalakan haram dan pembalakan kroni yang melanggar pelan dasar-dasar mampan perlu ditentang dengan sepenuh-penuhnya oleh kerajaan. Teknologi canggih seperti penggunaan satellite imagery, Global Positioning System (GPS) dan QR code supply chain tracking boleh memantau dan menyekat gejala pembalakan haram dan pembalakan kroni.
13. Sekiranya kita dapat mencegah rasuah dan salah guna kuasa dalam industri perhutanan, dan justeru mengamalkan dan menyesuaikan, dengan izin, adopt and adapt the best sustainability practices, industri perhutanan Malaysia akan menjadi lebih mampan.
Tuan Speaker,
14. Ada lagi dua perkara yang perlu dilakukan untuk menaikkan taraf industri perhutanan. Pertama, kita perlu memastikan agricultural plantation seperti kelapa sawit tidak boleh lagi mencerobohi dan menggantikan tanah hutan. Amalan ini perlu berhenti serta-merta baik di Semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak. Aktiviti perlombongan di kawasan hutan perlu dihindari. Sebaliknya kawasan hutan perlu dikekalkan khas untuk penjanaan ekonomi perhutanan seperti plantation forests yang diamalkan di Norway, Finland dan Canada.
15. Perkara kedua ialah kita perlu dengan izin, monetize the conservation of our hutan asal negara. Sekiranya hutan simpan kita dapat menjana keuntungan, status dan kawasan hutan asal ini boleh dikekalkan dan diselamatkan daripada tekanan keperluan ekonomi semasa. Hutan simpan dan taman-taman negara kita perlu dipakej semula oleh kerajaan pusat dan negeri supaya Malaysia dapat mengutip dana Reducing Emissions From Deforestation And Forest Degradation (REDD).
16. Hakikatnya, kita perlu faham bahawa perlindungan hutan simpan hanya boleh berterusan sekiranya aktiviti conservation boleh menjana keuntungan melalui REDD. Sekiranya, bayaran REDD dapat dijayakan dan ianya cukup lumayan, hutan yang sudah ditebas kosong, hutan terbiar dan juga kawasan degraded forest boleh dijana semula, dengan izin, regenerated untuk meluaskan kawasan hutan simpan negara.
17. Isu terakhir ucapan saya adalah mengenai industri kelapa sawit. Industri kelapa sawit perlu menjadi jauh lebih mampan dan proaktif. Dalam masa 8 tahun saya menjadi ahli Parlimen, setiap Menteri Komoditi, berjanji untuk menjaga kepentingan kelapa sawit tetapi setiap tahun saya melihat kempen kerajaan tidak efektif dan kempen anti kelapa sawit semakin kuat.
18. Jelas sekali, pendekatan yang diamalkan untuk menghadapi masalah ini adalah salah terpesong. Dengan izin, if consumers demand sustainable palm oil, itulah hak mereka sebagai pengguna. Apa yang salah ialah sebahagian besar kempen kita adalah terlalu combative dan reactive, dan kadang-kadang penuh dengan gimik. Kelapa sawit adalah satu produk yang memang baik, dan pada analisis terakhir, produk yang jauh lebih mampan daripada minyak sayuran lain seperti kacang soya, tetapi malangnya kempen kita terus gagal.
19. Apakah reformasi yang perlu dilakukan? Di Amerika Syarikat, setiap agro industri sama ada penternakan lembu, penanaman jagung dan kacang soya, kerajaan Amerika Syarikat memastikan dana sebanyak 2% daripada nilai jualan ekspot diperuntukkan dan digunakan untuk kerja penyelidikan sains dan data, kempen promosi dan pemasaran agro produk tersebut. Maknanya, industri kelapa sawit yang mempunyai ekspot value sebanyak RM80 billion setahun, kerajaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM1.6 billion untuk kerja penyelidikan dan promosi minyak kelapa sawit.
20. Kedua, kita perlu memastikan industri mengamalkan pelaburan tambahan untuk menjaga kebajikan pekerja ladang sawit. Pada masa ini, ada persepsi bahawa kesemua pekerja ladang sawit ditindas seumpama modern slavery. Dengan izin, we need to re-invest in labour and the fairer treatment of plantation workers. Pada perkiraan saya, setiap syarikat dalam industri ini patut menyediakan dana 5% penjualan, ataupun RM4 billion setahun untuk memperbaiki best labour practices yang memastikan kesejahteraan pekerja ladang sawit.
21. Kerajaan boleh menggalakkan pelaburan ke atas kebajikan pekerja ladang sawit melalui insentif cukai dan juga penguatkuasaan undang-undang. Windfall tax yang dikenakan ke atas industri sawit iaitu sebanyak RM1.2 billion setahun boleh dihapuskan sekiranya industri melakukan peningkatkan kebajikan pekerja ladang sawit.
22. Dalam penggubalan dan implementasi dasar, dengan izin, the government should use a carrot and stick approach, insentif cukai sebagai carrot dan penguatkuasaan undang-undang sebagai stick.
23. Dengan adanya kedua-dua dasar ini, negara kita boleh mula memperbaiki bukan sahaja imej industri kelapa sawit tetapi juga imej negara pada keseluruhannya. Imej industri kelapa sawit merupakan medan perang utama untuk meyakinkan para pengguna dan juga pelabur bahawa Malaysia adalah negara yang benar-benar mempunyai rancangan dan kesediaan untuk mengamalkan ekonomi yang cukup mampan.
24. Sekiranya industri kelapa sawit berjaya memperbaiki imej, ini akan menyumbang terhadap nama baik negara kita sebagai satu destinasi pelaburan hijau yang serius dan juga satu negara yang akan memberi sumbangan positif untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
25. Tuan Speaker, kesan perubahan iklim tidak dapat dielakkan namun kita boleh mengurangkan impaknya, tetapi masa untuk mengambil tindakan semakin suntuk dan kesannya terhadap ketiga-tiga industri utama Malaysia, iaitu, minyak dan gas, perhutanan dan kelapa sawit adalah cukup mencabar. Total ekspot ketiga-tiga industri adalah RM355 billion, melebihi 20% KDNK negara.
26. Malaysia mempunyai kewajipan untuk mencapai net zero sebelum 2050 dan saya percaya kita akan mencapai matlamat tersebut. Namun untuk mencapai net zero, kita harus mereformasikan ketiga-tiga industri utama itu. Dalam spirit MOU yang baru ditandatangani oleh kerajaan dan Pakatan Harapan, saya berharap pihak kerajaan dan pembangkang boleh bekerjasama dalam perkara-perkara perubahan iklim yang ditimbulkan dalam ucapan ini, demi kepentingan Malaysia dan kepentingan kemanusiaan sedunia.