top of page
Writer's pictureYB Wong Chen

Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2022


  1. Terima kasih Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk membahas Belanjawan 2022.

  2. Tahun lalu, saya berucap panjang lebar tentang isu hasil kerajaan yang terlalu optimistik dan malangnya amaran saya kepada kerajaan pada masa itu telah pun terbukti pada tahun ini.

  3. Pada mukasurat 26 buku Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, kerajaan sekarang mengakui secara bertulis bahawa anggaran asal kerajaan bagi hasil tahun 2021 adalah terlalu tinggi dan perlu disemak semula. Sejauh manakah anggaran hasil kerajaan terpesong?

  4. Dalam buku fiskal, anggaran asal adalah jauh lebih tinggi sebanyak RM15.9 bilion. Tetapi kalau kita campur penggunaan wang KWAN yang diambil oleh kerajaan semasa darurat tanpa kebenaran Parlimen pada masa itu, iaitu sebanyak RM5 bilion untuk vaksin, anggaran hasil Menteri Kewangan yang asal adalah jauh terpesong sebanyak RM20.9 bilion.

  5. Tuan Speaker, mungkin Tuan Speaker tertanya apa salahnya kalau kerajaan salah buat anggaran hasil? Dengan izin, the government got its revenue projections wrong, so what’s the problem?

  6. Pertama, adalah reputasi Menteri Kewangan sebagai seorang teknokrat banker maka keseluruhan imej Kementerian Kewangan telah terjejas. Ini ada impak negatif terhadap confidence of domestic and foreign investors. Anggaran asal hasil kerajaan 2021 adalah RM236.9 bilion, dan anggaran terlalu optimistik ini adalah sebanyak 9.45%. Ini bukan salah anggaran sikit 1% atau 2%, ini adalah kesalahan yang besar.

  7. Di dunia korporat, kalau anggaran pendapatan syarikat kurang sebanyak 9.45%, syarikat itu akan disiasat, harga saham jatuh dan kemungkinan besar CEO kena letak jawatan atau dipecat.

  8. Selain imej negara terjejas, apakah impaknya apabila kerajaan membuat anggaran yang jauh terpesong sebanyak RM20.9 bilion? Tuan Speaker, sekiranya kerajaan membuat anggaran salah dalam bajet, ia mempunyai impak yang sangat negatif terhadap kerja operasi dan cashflow kerajaan.

  9. Sistem pentadbiran akan kelam kabut cari wang setiap bulan. Nak bayar kontraktor dan pembekal pun lambat, dan majoriti besar kontraktor dan pembekal adalah perniagaan bumiputera. Pembelian barang keperluan kerajaan pun lambat dan tak teratur, dan akibatnya banyak operasi kerajaan terganggu dan tergendala.

  10. Tuan Speaker, apabila operasi kerajaan tergendala, siapa yang susah? Rakyat yang susah! Penjawat awam pula kena maki.

  11. Di kawasan saya Parlimen Subang, saya selalu dengar keluhan sama daripada penjawat-penjawat awam. YB, bukan kita tak nak buat tetapi tak ada bajet. Bukan kita tak nak tolong, tetapi tak ada bajet.

  12. Dan saya tak marah penjawat awam kita, frontliners kita, wira pandemik kita, tetapi saya berasa simpati dan empati dengan mereka, sebab saya sedar bahawa masalah bajet mereka berpunca dari sini, di dewan yang mulia ini, apabila kita sebagai ahli-ahli Parlimen gagal menyemak dan memperbaiki bajet ini dan Menteri Kewangan pula gagal, enggan dengar pandangan dan amaran kami.

  13. Tuan Speaker, saya bukannya seorang oracle, tetapi ramai di dalam dewan yang mulia ini, khasnya dari sebelah sana, dari Barisan Nasional dan GPS selalunya boleh menerima pandangan dan kritikan saya yang pada amnya, lebih constructive daripada kritikan yang destructive.

  14. Lagipun dalam keadaan politik yang mana adanya satu memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan dan kerajaan pusat apabila gejala pandemik masih tidak selesai lagi, ianya sangat penting perbahasan belanjawan ini dilakukan secara hormat-menghormati, demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

  15. Saya cakapkan ini sebagai satu peringatan pendahuluan kepada semua, dengan izin, a gentle reminder to all MPs, kerana saya tahu pembahasan belanjawan ini adalah sangat kritikal kerana matlamat utama dewan yang mulia ini adalah untuk menjana permulihan ekonomi negara.

  16. Belanjawan ini adalah yang paling besar dalam sejarah Malaysia, dengan dana sebanyak RM332.1 bilion; namun demikian, reaksi awal majoriti pakar-pakar ekonomi adalah negatif dan suam-suam saja. Apa lagi pandangan daripada ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pihak pembangkang lain, termasuk saya, adalah juga negatif dan ada yang cukup marah.

  17. Tuan Speaker, pandangan big picture saya tentang belanjawan ini adalah, ianya bukannya belanjawan yang berhemah, tetapi belanjawan yang berfokus kepada kepentingan politik, iaitu satu belanjawan, dengan izin, an election budget.

  18. Apa yang paling malang adalah cara pembentangan bajet ini berbunyi perkauman. Adakah ini sebenarnya dasar tersembunyi YAB Bera sebalik retorik konsep Keluarga Malaysia?

  19. Tuan Speaker, pandemik COVID-19 tak diskriminasi kaum dan agama. 29,000 rakyat Malaysia yang terkorban adalah daripada berbilang kaum dan berbilang agama, semuanya rakyat Malaysia. Pemusnahan ekonomi akibat COVID-19 juga tidak mengira kaum dan agama. Rata-rata majoriti besar perniagaan tercabar, syarikat Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan, semua sama-sama telah mengalami kesusahan dan kerugian.

  20. Apakah reaksi dan respon rakyat dan komuniti atas pandemik ini? Di Parlimen Subang, saya menyaksi sukarelawan berbilang kaum menolong yang susah dan sederhana tanpa sebarang diskriminasi. Semua kerja- kerja sukarelawan cukup membanggakan, dan saya terharu melihat masyarakat berganding bahu, tolong- menolong antara satu sama lain.

  21. Selepas menyaksi respon positif majoriti rakyat Malaysia yang boleh mengetepikan isu perkauman untuk menentang COVID-19 bersama-sama, kenapa pula kerajaan “Keluarga Malaysia” ini mengeluarkan satu pembentangan belanjawan yang mempunyai fokus dan sorotan perkauman? Kaum Melayu Bumiputera dapat beberapa bilion? Cina dapat beberapa juta? India dapat beberapa juta? Ramai netizens juga bertanya, kenapa jurang bantuan kerajaan jauh sangat antara satu kaum berbanding kaum lain?

  22. Saya nak cadang kepada kerajaan ini untuk lebih bertanggungjawab dalam perkara belanjawan, jangan main-mainkan isu perkauman. Tak bolehkah kerajaan tukar fokus kepada isu ketidaksamaan berdasarkan kaya miskin dan bukannya berdasarkan kayu ukur perkauman.

  23. Apakah logik satu dasar kerajaan di mana bantuan boleh diberi kepada seorang Melayu yang sudah kaya-raya seperti Tan Sri Syed Mokhtar, tetapi tidak ada pula dana secukupnya untuk menolong seorang aunty Cina yang kerja membasuh pinggan di kedai makan ataupun seorang pemuda India yang bekerja sebagai penghantar despatch?

  24. Saya kecewa apabila saya melihat Menteri Kewangan yang bukannya seorang ahli politik, yang semasa beliau CEO CIMB memberi kepentingan kepada performance and not the colour of your skin, telah bersetuju membenarkan ahli-ahli politik memasukkan unsur-unsur perkauman dalam pembentangan perbelanjaan ini. Saya rasa kerajaan ini perlu dengar teguran netizens dan rakyat Malaysia, termasuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.

  25. Oleh kerana belanjawan ini dipolitikkan oleh kerajaan, Tuan Speaker, saya juga ingin melontar balik satu pandangan politik yang berdasar fakta. Rakyat Malaysia mungkin mudah lupa, tetapi hakikatnya kerajaan ini adalah satu kerajaan yang telah gagal besar. Bukan gagal sikit, tapi gagal besar.

  26. Kerajaan YAB Bera kini, adalah kerajaan yang sama dengan Kerajaan YB Pagoh dulu. Kerajaan yang serupa, cuma main tukar musical chair jawatan perdana menteri sahaja.

  27. Selama 4 ke 5 bulan dari Mei hingga September tahun ini, kerajaan gagal besar ini telah mencatat rekod paling buruk top 10 di seluruh dunia dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19.

  28. Mungkin sekarang rakyat sudah lupa, tetapi sebagai ahli barisan kabinet, setiap satu menteri di sebelah sana perlu ingat selalu, perlu sedar dan insaf atas kegagalan besar itu. 29,000 rakyat Malaysia telah terkorban, 2.4 juta telah dijangkiti. Dengan izin, all the ministers owe Malaysia a massive apology and the way this budget is reported with racial emphasis, is not something to be proud of.

  29. Oleh itu, saya benar-benar harap kerajaan akan insaf dan ubah, kaji dan rangka semula belanjawan ini dan agih semula peruntukan supaya kaum lain juga terasa bantuan kerajaan. Belanjawan ini perlu dipinda kepada satu mesej yang lebih inklusif.

  30. Tuan Speaker, saya beralih dari perkara politik, dan menyentuh pula beberapa poin tentang isu hasil dan fiskal. Lepas itu, saya akan memberi beberapa cadangan ringkas untuk menambah baik perbelanjaan supaya lebih optimal dan berkesan.

  31. Tuan Speaker, dari segi anggaran hasil, saya rasa sekali lagi kerajaan adalah terlalu optimistik. Tetapi ianya tidak seteruk tahun lepas. Saya rasa anggaran hasil tahun ini masih terlalu tinggi, lebih kurang RM5 ke RM10 bilion.

  32. Anggaran tahun 2022 kerajaan adalah RM234 bilion. Bandingan yang kita perlu lakukan adalah dengan hasil kerajaan pada tahun 2019, iaitu tahun sebelum COVID-19 melanda dunia.

  33. Hasil tahun 2019 selepas audit adalah direkodkan sebagai RM264.4 bilion. Nampaknya secara ringkas, anggaran tahun 2022 adalah kurang dari tahun 2019. So, on the surface, these projections seem to be OK.

  34. Tetapi, Tuan Speaker apabila kita dissect hasil 2019, kita dapati pemberian PETRONAS tahun itu adalah sangat besar pada tahap RM54 bilion dan berbanding dengan 2022 pemberian PETRONAS adalah cuma RM25 bilion. Oleh itu, untuk kerja perbandingan hasil 2022 dengan hasil 2019, kita kena diskaun RM29 billion. Tahun 2019 juga adalah tahun ada tax amnesty SVDP RM6 bilion, ini juga kena diskaun daripada perbandingan ini. Ini bermakna, tanpa PETRONAS one-off RM30 billion dan tax amnesty SVDP, hasil 2019 adalah hanya RM228.4 bilion.

  35. Oleh itu, apabila kerajaan membuat anggaran RM234 bilion bagi tahun 2022, ia menceritakan satu scenario di mana hasil negara akan berlebihan sebanyak RM5.6 bilion berbanding dengan hasil tahun 2019, iaitu tahun yang tak ada pandemik COVID-19. Ini adalah skrip cerita dongeng, dengan izin, yet another irresponsible fairy tale of creative revenue projections. Dengan izin, Minister you are again projecting too optimistically for next year by around RM5 to RM10 billion. There is a fine line between over optimism and being somewhat delusional.

  36. Tuan Speaker, saya juga memerhatikan bahawa anggaran hasil 2022 juga bergantung besar kepada non- tax revenue. Saya sangat risau dan bimbang dengan satu item, iaitu dalam mukasurat 254 buku Tinjaun Fiskal 2022, Kod Hasil 75400 “Return from Other Internal Investments”, dimana kerajaan membuat anggaran akan menerima RM8.28 bilion hasil. Apakah hasil ini? Adakah ia hasil yang bakal diterima apabila aset, ekuiti, tanah kerajaan dijual? Jual pada siapa? Jual cara mana? Harga apa? Saya minta sekeras-kerasnya Menteri untuk memberi detail penuh. Setiap satu item pulangan pelaburan ini perlu dibentangkan dan diperiksa oleh setiap ahli Parlimen di dewan yang mulia ini.

  37. Saya beralih ke topik hutang negara yang dianggarkan pada hujung tahun ini akan mencecah RM958.4 bilion. Dengan DEVEX terbesar sebanyak RM77.6 bilion, hutang negara akan melebihi RM1 trilion tahun depan. Pembayaran faedah sahaja kepada hutang negara tahun depan, adalah dikira sebanyak RM43 bilion. Ini adalah sangat merunsingkan, tetapi saya tidak menyalahkan situasi ini kesemuanya kepada Menteri Kewangan. Cuma dengan DEVEX terbesar dalam sejarah bajet Malaysia, beliau telah mempercepatkan kadar peningkatan hutang negara.

  38. Hutang RM 1 trilion tahun hadapan adalah akibat budaya bajet defisit berterusan tak henti-henti melebihi dua dekad. Padahalnya, negara kita sebagai pengeluar minyak dan gas yang cukup besar, tidak sepatutnya ada bajet berdefisit, kita sepatutnya ada wang surplus tahunan seperti Norway.

  39. Oleh itu, cabaran utama fiskal negara di dalam lima tahun kehadapan ini, adalah untuk mereformasikan sistem hasil secara drastik dan menyeluruh. Kita perlu bincang secara terbuka cukai seperti capital gains tax untuk saham,inheritance tax dan juga consumption tax. Dan ini akan memerlukan bipartisan support dewan yang mulia ini. Ini akan memerlukan ahli kerajaan dan ahli pembangkang untuk menjadi statesmen and not politicians.

  40. Pada perkiraan saya, kita cuma ada sepuluh tahun lagi sebelum hutang negara akan bersamaan dengan GDP dan apabila ini berlaku, kita akan masuk satu debt spiral yang agak susah untuk kita keluar daripadanya. Negara akan benar-benar menjadi muflis kalau kita gagal mereformasikan sistem hasil dan cukai. Lebih penting lagi, kita juga perlu mereformasikan sistem pentadbiran kita untuk menjadi lebih demokratik, di mana semua pihak kena sedia berani melawan rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

  41. Tuan Speaker, jelas keadaan hasil kerajaan masih ada cabaran dan tidak akan pulih sempurna tahun depan. Oleh kerana hasil secukupnya ini adalah susah nak dapat, kerajaan perlu mengalih fokus lebih terhadap usaha untuk memastikan perbelanjaan adalah lebih optimal, transparent, and accountable.

  42. Perkara yang selalu ditimbulkan ialah tentang corruption, wastage, the absence of accountability and the lack of punitive actions walaupun selepas rasuah dan ketirisan didedahkan oleh Jabatan Audit Negara.

  43. Tuan Speaker, izinkan saya mengambil sedikit masa untuk memberi cadangan saya bagaimana kerajaan boleh memastikan perbelanjaan kita dapat ‘more bang for your buck’ ataupun mendapat perbelanjaan yang terbaik dalam situasi wang yang berkurangan.

  44. Dalam perkara ini, saya ingin memberi pandangan saya tentang falsafah kewangan dan sistem yang teratur untuk mengatasi masalah ketirisan dan juga rasuah. Izinkan pandangan saya ini digelar nama kawasan Parlimen saya, iaitu sebagai Doktrin Subang.

  45. Doktrin Subang adalah berdasarkan konsep pengawalan kontrak-kontrak kerajaan dengan menggunakan kadar pulangan pelaburan (Return on Investment) yang munasabah. Kerajaan perlu melaksanakan ROI munasabah dalam semua procurement dan pemberian geran yang sedia ada. Sistem ini juga perlu gunakan kepada semua projek pembangunan DEVEX.

  46. Saya ingin menerangkan Doktrin Subang melalui dua contoh ringkas supaya semua ahli dalam dewan ini dapat faham konsepnya dengan lebih baik.

  47. Contoh pertama, baru-baru ini saya telah dihubungi oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mendengar satu pembentangan mereka tentang kesan privatisation terhadap pengawal keselamatan di sekolah-sekolah. Mengikut data dan dokumen yang disediakan oleh PSM dan pengkaji-pengkaji terlibat, pengawal-pengawal keselamatan didapati hanya dibayar pendapatan yang agak sederhana tetapi majikan mereka pula mendapat keuntungan yang sangat lumayan.

  48. Dalam kajian tersebut, ada contoh sebuah syarikat yang mempunyai kontrak untuk menjaga sepuluh sekolah. Kontrak itu adalah bernilai RM1.3 juta untuk jangka masa selama tiga tahun. Menggunakan data yang disediakan, saya telah membuat perkiraan bahawa pendapatan kontraktor ini adalah memang sangat lumayan. Kontraktor tersebut mendapat keuntungan bersih lebih kurang 24% selepas semua kos-kos gaji dan pentadbiran diambil kira.

  49. Apakah ROI yang munasabah diberi kepada kontraktor yang jaga keselamatan sekolah ini? Pada pandapat saya kadar ROI 24% itu memang terlalu tinggi, dan saya rasa ROI 12% adalah lebih memadai dan berpatutan. Kalau kerajaan menggunakan ROI 12% ini sebagai kayu ukur untuk kontrak privatisation, berapakah kerajaan boleh jimat?

  50. Perkiraannya tidak rumit; kerajaan ada 10,000 sekolah dan harga kontrak jaga keselamatan setiap satu sekolah setahun adalah RM43,000. Jumlah kontrak jaga keselamatan kesemua 10,000 sekolah kerajaan adalah RM433 juta setahun. Dengan ROI 24%, keuntungan bersih kontraktor adalah RM104 juta. Tetapi dengan ROI 12% yang lebih munasabah, kerajaan akan bakal jimat RM72 juta setahun.

  51. Tuan Speaker, penjimatan sebanyak RM72 juta setahun adalah untuk menjaga keselamatan sekolah-sekolah kerajaan sahaja. Apa lagi kontrak untuk jaga keselamatan bangunan-bangunan kerajaan yang lain? Terdapat kontrak kerja pembersihan untuk semua bangunan- bangunan kerajaan; kontrak kerja jaga lanskap bangunan kerajaan; kontrak kerja dobi untuk hospital kerajaan; kontrak jual ubat untuk hospital kerajaan; ada juga kontrak untuk servis kenderaan kerajaan. Saya tertanya berapakah jenis kontrak servis kerajaan yang sedia ada, dan apakah ROI yang dipakai?

  52. Dalam buku anggaran perbelanjaan 2022 mukasurat 2, carta 2 menunjukkan perbelanjaan mengurus untuk perkhidmatan dan bekalan adalah RM30 bilion. Apakah ROI setiap pembekal dan kontraktor untung dari RM30 bilion ini? Kalau ROI 24%, keuntungan kesemua kontraktor kerajaan adalah RM7.2 bilion setahun. Kalau ROI yang lebih munasabah 12% digunakan, kerajaan boleh jimat RM4.5 bilion setahun dan kontraktor yang untung ROI 12% ini masih boleh hidup dan maju jaya. Cuma satu golongan yang bakal akan rugi di dalam sistem Doktrin Subang, iaitu orang berkuasa yang gila rasuah.

  53. Contoh kedua, adalah tentang sistem vendor PETRONAS. Sehingga hari ini, operasi dan kontrak-kontrak PETRONAS tidak dapat dipantau oleh Parlimen. Apa yang saya dengar secara anecdotal adalah vendor program untuk PETRONAS adalah sangat lumayan.

  54. PETRONAS tidak pernah bentang report di Parlimen kerana mengikut Petroleum Development Act, PETRONAS hanya perlu lapor kepada Perdana Menteri, maka PETRONAS langsung tidak bertanggungjawab kepada Parlimen. Ini salah, dan bertahun-tahun saya tanya soalan yang sama kepada kerajaan BN dan juga kerajaan PH; bilakah pindaan akan dilakukan supaya kuasa mutlak Perdana Menteri dihapuskan dan kuasa pantauan dipindah ke Parlimen? Setiap kali jawapan adalah tak ada cadangan atau sedang dikaji.

  55. Tuan Speaker, apa yang saya terdengar ialah vendor- vendor program PETRONAS ini mendapat keuntungan yang sangat luar biasa, ada yang kata sekurang- kurangnya ROI 30%, ada yang sampai ROI 60%. Ada vendor yang buat specialised services dan kemungkinan ada justifikasi ROI yang tinggi, tapi ada juga vendor yang buat jual beli sahaja, buat trading barang-barang sahaja.

  56. Sekiranya apa yang saya dengar itu betul, saya tertanya berapakah bilion yang dapat dijimatkan oleh PETRONAS, sekiranya PETRONAS mengamalkan ROI yang jauh lebih munasabah? Saya percaya setiap tahun, PETRONAS boleh berjimat berbilion-bilion ringgit sekiranya Doktrin Subang diguna pakai dengan baik.

  57. Tuan Speaker, kita dah biasa dengar Ketua Audit Negara bertahun-tahun mengulang perkara yang sama, iaitu isu ketirisan dan rasuah berleluasa. Baru-baru ini, Ketua Audit Negara telah mendedahkan ketirisan sebanyak RM620 juta. Tak ada satu pun ahli Parlimen terkejut dengan jumlah ketirisan ini. Ada pula bersyukur, mujur tak sampai berbilion bilion seperti zaman 1MDB.

  58. Untuk memantau belanjawan yang terbesar ini, saya rasa Menteri Kewangan perlu meningkatkan OPEX dan DEVEX untuk tiga badan, iaitu Parlimen, Jabatan Audit Negara, dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (MACC).

  59. Belanjawan Parlimen tahun 2022 adalah cuma RM148 juta setahun, ini merupakan peningkatan RM3 juta sahaja berbanding tahun lalu, padahalnya kita semua tahu bahawa kerajaan sepatutnya mereformasikan Parlimen dengan mengadakan banyak lagi Parliamentary Select Committees yang baru dengan peruntukan dana yang secukupnya supaya PSC-PSC ini boleh membuat kerja pemantauan dasar serta perbelanjaan setiap satu kementerian.

  60. Jadi, dengan adanya 10 PSC yang aktif dan mempunyai dana yang cukup, kerajaan boleh menyediakan secretariat, researchers, dan pada perkiraaan saya setiap satu PSC perlu mendapat dana operasi sebanyak RM 2 juta setahun. Oleh itu, kalau kita ada 10 PSC, maka dana tambahan untuk Parlimen adalah RM20 juta lagi.

  61. Baik, saya beralih ke belanjawan Jabatan Audit Negara. Kerja Jabatan Audit Negara adalah tersangat penting untuk memastikan optimal spending kerajaan tanpa ketirisan dan tanpa rasuah. Tetapi untuk tahun 2022, peruntukan Jabatan Audit Negara dikurangkan sebanyak RM4 juta ke RM154 juta setahun. Apakah dasar ini? Kerajaan nampaknya tak suka Jabatan Audit Negara mendedahkan ketirisan negara?

  62. Tuan Speaker, saya perhatikan bahawa bilangan jawatan di dalam Jabatan Audit Negara adalah sekarang pada tahap 2020 orang. Banyak lagi kerja pantauan perlu dilakukan dan saya cadangkan kita menambah 100 lagi jawatan baru untuk kerja audit. Kita kena pakai prinsip bajet terbesar perlu pantauan lebih luas daripada Jabatan Audit Negara. Ini bermakna tambahan dana sekurang- kurangnya RM10 juta diperlukan bagi Jabatan Audit Negara tahun hadapan.

  63. Mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC), walaupun kebelakangan ini, terdapat banyak kes tuduhan penyelewengan dan pencurian duit, tuduhan jual dadah pun ada. Namun, kehendak perbelanjaan tambahan MACC masih perlu diteruskan. Apa yang MACC perlu melakukan ialah menjawab semua pendakwaan ini and clean up its own office. Selepas itu saya akan menyokong apa-apa permintaan bajet tambahan MACC.

  64. Berapakah bajet MACC tahun 2022? Belanjawannya ialah RM301 juta dan berbanding dengan tahun lalu iaitu RM299 juta, ia cuma meningkat RM4 juta sahaja. Kadar inflasi pun lebih tinggi daripada peningkatan itu.

  65. Tuan Speaker, jumlah bilangan penjawatan di MACC adalah 3,150 pegawai. Pada pendapat saya, MACC perlu 200 lagi pegawai baru dan kos penambahan ini dianggarkan RM20 juta lagi.

  66. Itu sahajalah permintaan saya dalam ucapan ini. Kalau kerajaan nak membentangkan election budget yang terbesar dalam sejarah Malaysia, ia perlu berani bentangkan bajet belanjawan yang memberi dana secukupnya kepada Parlimen, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) untuk memantau belanjawan bajet terbesar ini. Saya cuma minta belanjawan tambahan RM50 juta sahaja, potong hanya satu defence contract and you can pay for these crucial reforms.

  67. Itu sahaja ucapan saya. Tuan Speaker, pagi tadi saya terserempak dengan Menteri Kewangan, dan kami berbincang sedikit sebanyak tentang belanjawan ini. Beliau memberitahu saya bahawa beliau sudi mendengar cadangan-cadangan pindaan bajet dari Pakatan Harapan minggu depan. Saya berharap mesyuarat kelak akan berhasil dengan pindaan yang diperlukan sebelum undi bajet Belanjawan 2022 pada 13hb Disember nanti. Terima kasih.









bottom of page