top of page
Writer's pictureYB Wong Chen

Rang Undang-Undang Kewangan (No. 2) 2014

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih memberi peluang bagi saya untuk berucap dan berbahas mengenai Rang Undang-undang Kewangan (No. 2) 2014.


Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bermula dengan menyentuh perkara tentang cukai pendapatan dan GST. Yang Amat Berhormat Pekan selaku Menteri Kewangan dalam penyampaian Bajet 2015 pada permulaan sesi Parlimen ini telah memberitahu Dewan ini bahawa pembayar cukai pendapatan iaitu pembayar cukai pendapatan peribadi akan menikmati potongan 1% ke 3% cukai. Ini adalah jelas sebab ia dalam poin nombor 70 teks ucapan bajet beliau.


Rang undang-undang di depan kita Tuan Yang di-Pertua, bila kita perhatikan, ia tidak menyokong secara substantif apa yang dikatakan oleh beliau. Kita fokus kepada isu Jadual 1, Akta Cukai Pendapatan yang baru, ia menunjukkan dengan jelas potongan kadar cukai adalah di antara 0.5% ke 1% sahaja. Oleh itu, poin yang saya hendak buat adalah pendek tapi perlu dapat penjelasan daripada Menteri ialah Menteri perlu memberi penjelasan benar mengenai perkara ini sama ada statement Yang Amat Berhormat Pekan mungkin atau tidak telah mengelirukan Dewan ini. Niat tidak ada niat. itu soalan lain, ya.


Jadi Tuan Yang di-Pertua, konteks potongan kadar cukai ini sebanyak 0.5% ke 1% adalah berkaitan dengan isu GST. Pindaan yang terdapat di dalam Jadual 1 ini nampaknya adalah satu percubaan Kerajaan Barisan Nasional untuk menonjolkan satu rancangan dengan izin, a tax set-off di antara 6% GST dan potongan cukai pendapatan 0.5% ke 1%. Potongan cukai ini dibesar-besarkan oleh Yang Amat Berhormat Pekan sebagai potongan 1% hingga 3%.


Saya rasa dalam fikiran saya, saya tahu macam mana Yang Amat Berhormat Pekan boleh tambah 2% lagi potongan itu sampai ke tahap 3%. Akan tetapi, saya minta jugalah kalau boleh Menteri memberi perkiraan yang lebih jelas dengan breakdown yang betul bagaimana dia boleh dapat 3% ini.


Pokoknya, dalam Jadual 1, majoriti besar dalam perkiraan saya, 90% pembayarpembayar cukai pendapatan hanya akan menikmati potongan 1% sahaja.


(sambung)


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jadi isu yang saya hendak- repeat sedikit ya, bagi konteks sebenarnya. Tuan Yang di-Pertua, konteks potongan kadar cukai ini ialah isu GST. Seperti yang saya kata tadi, ini adalah satu percubaan tax set-off di antara 6% GST dan 0.5% ke 1% cukai pendapatan. Apa yang penting ialah Yang Amat Berhormat Pekan ataupun Menteri ataupun Timbalan Menteri pada hari ini memberi penjelasan penuh bagaimana dia boleh kira sampai 3% ini.


Pokoknya, bagi perkiraan kita, majoriti besar 90% pembayar-pembayar cukai pendapatan hanya menikmati potongan 1% sahaja. Akan tetapi, 100% pembayar cukai dan semua ahli keluarganya, bayi ataupun dia punya nenek, semua kena bayar cukai tambahan GST 6%. Dalam perkiraan saya, tidak sampai 1% pun pembayar cukai akan menikmati potongan 3% yang Yang Amat Berhormat Pekan sudah tekankan tadi.


Tuan Yang di-Pertua, itu adalah isu dasar. Isu-isu lain saya akan bawa pada Committee stage. Terima kasih.

bottom of page