Terima kasih Tuan Pengerusi. Tuan Pengerusi, ucapan saya pendek sahaja. Saya merujuk kepada Butiran B.25 Butiran 070300 – Program 1Malaysia 1Harga, muka surat 347 anggaran perbelanjaan RM33 juta.
Tuan Pengerusi, program ini adalah satu program untuk memastikan harga barang-barang bersubsidi di Sabah dan Sarawak menjadi sama rata dengan harga barangbarang bersubsidi di Semenanjung. Ini adalah mengikut website kementerian sendiri. Pada amnya harga barang-barang di Sabah, Sarawak adalah lebih tinggi daripada harga-harga barang di Semenanjung seperti apa Yang Berhormat Jasin beritahu tadi.
Ini adalah sebab kos pengangkutan. Jadi, program ini adalah merupakan satusatunya subsidi kos pengangkutan barang-barang bagi Sabah dan Sarawak. Tuan Pengerusi, soalan saya adalah kenapa program ini pada tahun 2014 mendapat bajet sebanyak RM85 juta tetapi untuk tahun depan 2015 bajet ini dipotong secara mendadak ke RM33 juta sahaja.
Tuan Pengerusi, ini adalah pengurangan bajet dari segi peratusan 60 peratus. Tuan Pengerusi, kalau dia potong 5 peratus atau 10 peratus, itu kita boleh faham tetapi apabila program menerima potongan 60 peratus, Menteri mesti memberi jawapan yang jelas dan terperinci bagi semua breakdown. Pagi tadi saya tanya tentang isu kepada Yang Berhormat Menteri tentang breakdown dia tidak bagi. Saya harap kementerian ini akan memberi breakdown yang jelas sebab apabila kita potong 60 peratus, adakah Yang Berhormat Menteri menghantar signal yang dia tidak sayang langsung kepada Sabah, Sarawak lagi? Jadi, baik Yang Berhormat Menteri memberi penjelasan yang penuh. Kalau tidak nanti kawan baik saya daripada Penampang dia akan marah Yang Berhormat Menteri. Kalau Yang Berhormat Menteri tidak takut Yang Berhormat Penampang, mungkin dia takut Yang Berhormat Kinabatangan. Ya, itu sahaja. Terima kasih.