1. Terima kasih Tuan Speaker kerana memberikan peluang kepada saya untuk membahas rang undang-undang pindaan Akta Perhutanan Negara ini.
2. Ini merupakan satu pindaan yang cukup tebal dan komprehensif. Pada dasarnya, saya menyokong pindaan ini walaupun ada beberapa pindaan-pindaan spesifik yang perlu dihuraikan oleh menteri, tetapi semangat pindaan ini saya memang setuju.
3. Pada amnya, pindaan ini akan memberi kuasa tambahan kepada kerajaan pusat. Ada kuasa-kuasa hukuman dan penalti di dalam pindaan ini yang boleh menyekat pembalakan haram dan juga memberi peluang untuk menguruskan pembangunan lebih mampan bagi hutan kita.
4. Tuan Speaker, dalam ucapan dasar ini saya akan menekankan 3 perkara dasar:
5. Yang pertama, pindaan ini akan membenarkan kerajaan pusat membuat rancangan yang lebih rapat mengenai hutan taman negeri yang mempunyai status baru sebagai hutan simpanan kekal kerajaan-kerajaan negeri.
6. Walaupun secara prinsipnya, hutan adalah di bawah bidang kuasa dan kawalan kerajaan-kerajaan negeri, tetapi kerana isu-isu global berkaitan perubahan iklim, isu hutan kini adalah tersangat penting, oleh itu kerajaan pusat perlu memberi lebih perhatian dan juga kuasa ke atas hutan-hutan negeri.
7. Kerajaan pusat juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ekonomi negara kita menuju ke status sustainable dan kesemua kegiatan-kegiatan perdagangan antarabangsa (international trade) perlu memenuhi kriteria yang tinggi. Isu hutan adalah satu frontline issue mengenai national sustainability.
8. Maka, pindaan ini memanglah tepat pada masa untuk memastikan kawalan hutan kita dijadikan satu keutamaan negara dan bukan sahaja pada tahap negeri sahaja. Dengan izin, forestry needs to be a national issue and not just a state matter.
9. Tuan Speaker, memang di kawasan Subang tak ada hutan, tetapi kampung saya di Kota Bharu, Kelantan. Hasil hutan Kelantan adalah tersangat penting dari segi hasil pendapatan untuk kos operasi kerajaan negeri Kelantan.
10. Oleh itu, kerajaan pusat tidak boleh teruskan amalan membuli kerajaan Kelantan, sejak berdekad-dekad, kerajaan Kelantan tidak diberi dana secukupnya semenjak masa pimpinan Tok Guru Nik Aziz lagi. Kalau tidak cukup dana, kerajaan Kelantan akan terus terdesak untuk membuka hutan-hutannya.
11. Sebenarnya kerajaan Kelantan sekiranya cukup dana fiskal boleh menyumbang kepada perlindungan hutan-hutan kita dan menjadikan hutan-hutan kita lebih mampan, lebih sustainable.
12. Oleh itu, walaupun saya menyokong pindaan ini untuk memberi kuasa tambahan kepada kerajaan pusat, saya ingin mengingatkan kerajaan pusat juga perlu memberi satu financial komitmen untuk memberikan dana secukupnya kepada negeri-negeri yang memerlukan hasil hutan. Negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Pahang dan Kelantan. Isu ini perlu dibawa oleh YAB Bera. Dia pun anak Pahang.
13. Pendek kata, if the federal government is asking for more powers over forestry matters, please provide adequate funds to state governments, supaya kerajaan negeri tidak terdesak sampai membuka konsesi-konsesi balak berlebihan.
14. Tuan Speaker, perkara kedua. Sudah tiba masanya kita buat rancangan lebih terperinci dan lebih teratur diantara kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan pusat dalam hal ehwal perhutanan.
15. Kita semua tahu, setiap tahun negeri-negeri akan membuka hutan-hutan mereka untuk dieksploitasi. Sama ada untuk menjadi ladang sawit ataupun menjadi ladang hutan. Saya faham banyak negeri-negeri memerlukan pelaburan dalam ladang sawit dan juga ladang hutan.
16. Dan kedua-dua industri ini bakal menjana pekerjaan kepada rakyat dan juga merancakkan ekonomi-ekonomi di kawasan pedalaman.
17. Pada pandangan saya, dalam perkara ini, secara satu prinsip utama, hutan kita tidak boleh lagi ditebang dan ditukar kepada ladang-ladang sawit. Ini perlu dihentikan. Tetapi untuk diubah kepada ladang hutan, dari segi kepentingan ekonomi, kita masih ada sedikit ruang untuk melakukannya, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara mampan, terkawal dan teratur.
18. Saya merujuk kepada negara-negara maju yang mempunyai industri perhutanan yang pesat dan pada masa yang sama mempunyai track record environment yang cukup baik, khasnya negara Kanada, Finland, Norway dan Sweden.
19. Hakikatnya, kesemua negara-negara tersebut sebenarnya tak banyak pun hutan kekal atau hutan asli. Kebanyakannya adalah ladang-ladang hutan.
20. Dengan izin, There is very little natural forest in all these advanced countries that have excellent environmental records.
21. Oleh demikian, kita tidak perlulah bergaduh dengan negara-negara maju ini. Ada yang kritik negara barat sebagai hipokrit kerana mereka telah menebang hutan-hutan asal mereka 100 tahun dulu, tetapi this argument is non productive. Saya juga tidak percaya langsung pada persepsi kita ditindas oleh negara barat dari segi kemampanan dan environmental protection.
22. Sebenarnya kita boleh belajar daripada mereka, bukanya gaduh dengan mereka. Kita kena belajar. Kalau 90% daripada hutan mereka itu ladang hutan, tetapi mereka masih dianggap negara yang baik dari segi perlindungan alam sekitar with excellent environmental records, why don’t we learn and do the same?
23. Cadangan saya senang. Berdasarkan data Kementerian Tenaga dan Sumber Asli tahun 2018, negara kita masih mempunyai 18.3 juta hektar hutan iaitu 54% bumi kita masih adalah hutan.
24. Kita perlu membuat perkiraan: berapa besarkah pasaran dunia untuk produk-produk dan hasil-hasil hutan seperti kayu balak, kayu papan, perabot, MDF, rotan, buloh.
25. Dan daripada perkiraan tersebut kita boleh mendapat satu angka berapa jumlah hektar hutan yang kita perlukan untuk memenuhi pasaran tersebut. Kita juga perlu kira berapakah syarikat-syarikat perabot yang boleh menjadi mampan sekiranya kita ada bekalan hasil dan produk-produk yang stabil.
26. Kita perlu juga kira berapa jumlah pekerjaan yang kita boleh janakan daripada industri ini. Dan kita perlu kira berapa untung kepada syarikat-syarikat agroforestry kita dan berapa hasil cukai yang kerajaan akan dapat daripada industri ini.
27. Maka kerajaan pusat dan negeri boleh bekerjasama untuk membuat rancangan besar-besaran dengan baik di mana kita bermula dengan komitmen supaya 9 juta hektar akan dikekalkan sebagai hutan simpan buat selama-lamanya. Hutan kekal ini boleh digunakan untuk pelaksanaan sistem kredit karbon.
28. Balance 9 juta hektar hutan lagi boleh dipertimbangkan sebagai ladang hutan dengan syarat ada pengurusan yang terbaik. Kalau kita tidak buat rancangan sekarang, dalam jangka masa 10 tahun, hutan kita akan terus hakis entah ke mana? Balance 9 juta hutan ini kita boleh mula dengan 5% dahulu dan syarat utama industri perhutanan perlu membuktikan mereka dapat mengamalkan amalan terbaik seperti yang digunakan oleh Kanada, Finland dan Norway.
29. Dengan izin, the industry has to fully adapt and adopt the best forest management policy from Canada, Finland, Norway and Sweden. If, and only if the industry meets these high environmental standards, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengusahakan lebih ladang hutan.
30. Pada masa yang sama kita kena lihat sama ada hutan kekal kita dapat menghasilkan karbon kredit yang setimpal dengan penjanaan ekonomi melalui agroforestry.
31. Sekiranya, dunia barat tak hipokrit dan mula membeli karbon kredit dengan harga berpatutan 9 juta hektar ini boleh dipertingkatkan ke 10 juta, ke 11 juta, ke 15 juta hektar.
32. Saya cadangkan we run both revenue streams, karbon kredit, dan juga agro forestry, dan mengambil satu pendekatan yang fleksibel.
33. Oleh itu, saya berharap pindaan ini dapat memberi kuasa dan insentif untuk melakukan perancangan besar-besaran seperti ini demi kepentingan alam sekitar, kepentingan ekonomi dan juga kepentingan nama baik negara kita dari segi perdagangan antarabangsa.
34. Let this be a starting point for both the environmentalists dan juga kepada industri perhutanan untuk memulakan satu perbincangan yang serious. Apa yang susah sangat untuk melakukan rancangan seperti ini?
35. Perkara terakhir, Tuan speaker,
36. Pada musim tengkujuh yang lalu, kita telah melihat banjir balak di Pahang. Banjir balak ini adalah satu perkara yang sangat beremosi. Dan sampai sekarang kita tak tahu apakah tindakan-tindakan jabatan perhutanan Pahang untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang bersalah dalam perkara ini. Apabila banjir seperti ini berlaku, reputasi industri-industri agroforestry turut terjejas.
37. Selagi rakyat Pahang tidak dapat rasa keadilan daripada banjir balak ini, saya rasa tiba masanya untuk kerajaan pusat diberi kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas aktiviti-aktiviti tender, konsesi dan pembalakkan di dalam negeri-negeri.
38. Pembalakan haram dan pembalakkan keterlaluan perlu diatasi dengan segera. Saya cadangkan satu Royal Commission of Inquiry (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini.
39. Sesiapa yang telah menjadi kaya melalui cara pembalakkan salah dan haramini perlu insaf dan sedar bahawa berjuta-juta ringgit yang mereka untung itu sebenarnya telah menjejaskan industry agroforestry Malaysia yang mempunyai nilai eksport RM22.7 billion setahun.
40. Don’t let a few million dollars going to the few corrupt people damage a RM23 billion industry.
41. Oleh demikian, pada dasarnya saya menyokong Rang Undang-Undang pindaan ini. Saya berharap pihak kerajaan boleh menerima cadangan - cadangan saya ini. Cadangan-cadangan ini bukan rocket science pun dan memang boleh pakai.
42. Saya juga berharap kerajaan-kerajaan negeri boleh menerima pindaan-pindaan ini demi menjaga kemampanan agroforestry dan kemampanan ekonomi Malaysia, demi mengatasi masalah global perubahan iklim. Sekian, terima kasih.